Allah SWT berfirman di dalam surah Yunus ayat 12 yang bermaksud:
“Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia kepada Kami (dalam segala keadaan), sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan apabila Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya. (Sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan”.
Sudah menjadi lumrah hidup manusia apabila ditimpa kesusahan maka mereka akan mengadu nasib kepada yang paling berkuasa iaitu Allah SWT. Sepanjang kesusahan tersebut mereka tidak henti-henti memohon pertolongan daripada Allah SWT. Namun apabila manusia itu diberikan nikmat dan dilepaskan daripada kesusahan, mereka akan lalai dengan kesenangan itu dan lupa dengan kesusahan yang pernah dialami. Dengan kata lain, manusia mudah lupakan Allah SWT apabila berada dalam kesenangan sebaliknya mengingati Allah SWT hanya apabila berada di dalam kesusahan dan selepas itu kembali lupa diri dan mengkufuri nikmat Allah SWT apabila diberi kesenangan semula. Manusia kebanyakannya tidak terlepas daripada hakikat ini.
Sebagai contoh, seseorang yang berusaha untuk menjadi kaya, dia senantiasa berdoa, meningkatkan amal ibadat mengharapkan perkenan dari Allah SWT atas daya usahanya untuk menjadi kaya. Namun apabila usahanya itu dimakbulkan oleh Allah SWT, maka dia menjadi seorang yang lupa diri, kadang-kadang solat dan kadang-kadang tidak sempat lagi, kurang atau tidak lagi bersedekah, tidak membayar zakat dan perkara-perkara lain yang seumpama dengannya. Ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah SWT boleh menarik balik segala nikmat yang telah dikurniakannya itu untuk menyedarkan kesilapan yang telah dilakukan.
Oleh itu, kita hendaklah sentiasa bersyukur dan jangan lupa diri dalam apa jua tindakan yang kita lakukan agar kehidupan kita dilimpahi dengan berkat, rahmat dan kasih sayang dari Allah SWT. Kita harus sedar bahawa nikmat kesenangan dan kemewahan di dunia ini hanya sementara dan bila-bila masa sahaja boleh ditarik balik oleh Allah SWT. Sesungguhnya nikmat dan kesenangan di Akhiratlah yang kekal abadi bagi mereka yang mensyukuri nikmat dan kesenangan di dunia. Akhir kata, marilah kita sama-sama berusaha untuk menjadikan diri kita sebagai seorang yang senantiasa mensyukuri apa sahaja bantuan atau pemberian dari seseorang, apatah lagi nikmat kurniaan dari Allah SWT.
Renung-renungkan, fikir-fikirkan. Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment